![]() 48, Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur Tel:(603) 2832788 Fax:(603) 2832615 |
Laporan Program Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa dan Belia Bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 26 Julai 1997 Anjuran: Institut Kajian Dasar Pendahuluan Suatu ketika dahulu, pelajar dan golongan belia adalah nadi pembangunan masyarakat. Golongan inilah yang banyak menitiskan keringat memperjuangkan idea-idea pembaharuan, sehingga sanggup berkering tekak bagi memastikan objektif dan wawasan perjuangan mereka kesampaian. Apa yang pasti usaha mereka sentiasa dihargai masyarakat serta para pemimpin negara. Hakikatnya, itu cuma senario dari lipatan sejarah kita puluhan tahun dahulu. Kini, angkatan belia muda kita dianggap lesu dan tidak bermaya. Tiada lagi kedengaran suara-suara dari para pejuang muda atau kelihatan kelibat tokoh-tokoh muda yang patut dibanggakan oleh masyarakat. Persoalannya bagaimanakah ini boleh terjadi? Di manakah generasi muda di mata masyarakat? Apakah telah padam obor kepimpinan generasi muda yang suatu ketika dahulu marak menyala? Apakah tiada kesinambungannya kini? Generasi belia dan pelajar sebagai kelompok yang paling besar dan bertenaga dalam masyarakat haruslah diberikan peluang, hala tuju dan kebebasan bergerak agar mereka dapat memberi satu momentum yang berkesan dalam usaha memasuki era Koridor Raya Multimedia (MSC). Konvensyen ini adalah bertujuan untuk membangkitkan kembali kesedaran di kalangan muda tentang peri pentingnya semangat dan idea kepimpinan mereka dihidupkan semula. Mereka akan disajikan dengan santapan minda dan rohani yang diharapkan dapat memberikan mereka gambaran tentang corak kepimpinan yang matang dan cara terbaik untuk mereka bersuara. OBJEKTIF
Program sehari ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato Suhaimi Ibrahim Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan oleh tokoh-tokoh akademik dan profesional iaitu "Kepimpinan Generasi Muda: Menyalakan Kembali Obor Yang Terpadam" oleh YB. Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi Bank Simpanan Nasional) yang telah mewakilkan Sdr. Saifudin Nasution Ismail, "Kesinambungan Kepimpinan Belia: Adakah ia Suatu Realiti?" oleh YB. Suhaimi Ibrahim, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan "Radikalisme: Wajarkah dalam Konteks Perjuangan Semasa" oleh Tuan Hj. Anuar Tahir, Pengerusi Perhimpunan Belia Islam Asia Timur. Sementara Sesi forum telah dihadiri oleh Dr. Badrul Amin (UIAM), Dr. Azizan Baharudin (IKD) dan Dr. Mizan Hitam (ITM) dengan tajuk "Pentingnya Gerakan dan Pemikiran Islam sebagai Wadah Pemimpin Muda". |