ISU KEPRIHATINAN BERSAMA

Institut Kajian Dasar yakin bahawa pembangunan insan ialah prasyarat kepada keseluruhan program pembangunan nasional. Meskipun IKD menyokong pertumbuhan ekonomi yang pesat, tumpuan utama IKD ialah pembangunan insan yang holistik sifatnya. Bila aspek-aspek jasmani, rohani dan akal dikembangkan dengan seimbang, hasilnya ialah personaliti sepadu yang membolehkan seseorang itu menghadapi sebarang cabaran dengan berkesan.

IKD sedar sebagai langkah untuk menjamin kejayaan sesebuah negara, golongan mestilah menyalurkan masa dan tenaga kepada kegiatan-kegiatan yang sihat. IKD menyediakan latihan untuk mereka dalam pelbagai aspek termasuklah pembentukan akhlak, ciri-ciri kewarganegaraan yang baik, pembinaan negara bangsa dan pengurusan organisasi. Beberapa siri seminar diadakan dengan tujuan menghidupkan semula nilai- nilai kemanusiaan sejagat, keberanian, toleransi agama, dan saling hormat menghormati terutamanya dalam masyarakat majmuk seperti Malaysia.

IKD berjuang demi keadilan sosial. Kekayaan negara ini mestilah diagihkan secara adil tanpa diskriminasi terhadap mana-mana pihak berdasarkan pegangan agama atau latarbelakang keturunannya. Tidak ada satu sektor pun dalam masyarakat yang harus dipinggirkan oleh arus utama pembangunan ekonomi. Kita bertekad membina masyarakat adil dan penyayang.

Perindustrian dan perbandaran telah mengubah struktur masyarakat dan menggugat nilai-nilai kehidupan kekeluargaan. Kekayaan negara dari satu segi menjejaskan semangat kesukarelaan di kalangan anggota masyarakat. Semuanya ini mesti diperbetulkan dalam usaha kita untuk mencapai status negara maju dan masyarakat mampan dalam acuan kita sendiri tanpa mengorbankan nilai-nilai keagamaan dan ketimuran yang kita sanjungi.

Institut ini menghargai sumbangan wanita terhadap kemajuan negara. Kedua-dua kaum lelaki dan wanita memainkan peranan penting dalam pembangunan negara. Kita yakin bahawa pembangunan nasional akan dipermudahkan sekiranya pendekatan kita kepada masalah gender ialah pendekatan kerjasama.

Dengan meningkatnya peranan Malaysia dan rantau ini di arena antarabangsa, IKD juga melihat keluar. Penglibatan kita dalam menggalakkan kerjasama serantau bertolak daripada keyakinan kita bahawa perkongsian kekayaan di rantau ini ialah prasyarat terhadap kestabilan serantau. Tidak ada suatu bangsa atau negara pun yang harus diketepikan daripada kemakmuran ini. Kemasukan negara anggota yang baru ke dalam ASEAN sepatutnya dipermudahkan. Usaha-usaha pelbagai hala untuk memastikan wujudnya satu platform yang lebih baik bagi negara-negara rantau ini bertukar- tukar pengalaman dalam menyelesaikan masalah yang mereka hadapi juga patut digalakkan.

Meskipun berbeza budaya, tradisi, keturunan, agama dan ideologi, penduduk di rantau ini yakin akan dapat terus hidup secara harmoni berdasarkan nilai-nilai yang dikongsi bersama. Bahkan bangsa-bangsa di rantau ini telahpun hidup berabad-abad lamanya. Dalam hal ini pengalaman Asia Tenggara sebenarnya menyumbangkan sesuatu yang bermakna kepada dunia yang diancam oleh nasionalisme sempit.

| Main || About IKD || IKD Diary || Southeast Asia 2000 Project|| Press Releases || IKD Links || Inquiries |