Laporan: Menangani Masalah Sosial dan Keruntuhan Akhlak di Kalangan Golongan Muda, Port Dickson 11 April 1997

Sebuah Bengkel Menangani Masalah Sosial dan Keruntuhan Akhlak Di Kalangan Golongan Muda telah diadakan di Hotel Sri Malaysia. Bengkel yang dianjurkan oleh Institut Kajian Dasar dan Yayasan Konrad Adenauer ini telah dihadiri oleh lebih 45 orang peserta yang merupakan wakil-wakil dan pemimpin-pemimpin NGO, agensi dan jabatan kerajaan yang terlibat dengan hal-ehwal pembangunan golongan belia/muda.

Di antara lain Bengkel ini adalah bertujuan untuk:-

1. Mengumpulkan maklumat daripada golongan pengkaji/profesional dan golongan muda mengenai faktor-faktor psikologi, emosi, ekonomi, sosial dan spritual yang mengakibatkan berbagai masalah sosial dan keruntuhan akhlak khasnya di kalangan golongan muda.

2. Merumuskan satu gambaran yang bersepadu dan holistik tentang keadaan remaja hari ini dengan menilai maklumat serta teori yang ada secara objektif, sistematik dan realistik.

3. Menggariskan projek atau program jangka panjang atau jangka pendek mengatasi masalah sosial dan keruntuhan akhlak serta mengenalpasti badan-badan atau organisasi-organisasi bagi melaksanakan strategi dan program yang dijayakan.

4. Menyediakan laporan dan blue-orint for action untuk dimajukan kepada pihak IKD sendiri serta pihak-pihak berwajib yang lain mengenai isu masalah remaja dan keruntuhan akhlak di kalangan golongan muda.

Seramai 9 orang pembentang kertas kerja telah membentangkan statistik dan maklumat serta analisa yang termuktakhir bersabit dengan punca dan sebab berlakunya masalah sosial dari modul yang berbagai. Rata-rata masalah sosial mempunyai sebab-sebab yang boleh dilihat dari pelbagai sudut dan bidang yang disebutkan. Sebab-sebab ini pula amat berkaitan di antara satu sama lain. Tetapi apa yang pokok ialah soal terhakis dan semakin pupusnya nilai-nilai kekeluargaan dan kehidupan yang berteraskan dan berorientasikan kemanusiaan dan spiritual. (Untuk kupasan-kupasan ini sila lihat kertas kerja).

Satu kelainan bengkel ini ialah pendekatan yang mahu mendekati kumpulan yang menjadi fokus isu masalah sosial (iaitu kumpulan yang bermasalah itu sendiri.

Untuk ini satu dialog bersama kumpulan Embun Hidayah yang diketuai oleh Saudara Nizal Mohamed serta Saudara Riduan Mohamed telah diadakan.

Dialog ini telah memberikan peserta Bengkel satu imbasan dan tinjauan tentang bagaimana dan apa sebenarbnya yang wujud dan berlaku di peringkat grass-root. Mesej yang jelas hasil daripada tersebut adalah hakikat kekurangannya insan-insan atau pihak-pihak yang prihatin terhadap keperluan psiko-emosi, dan sosial-fizikal remaja/golongan yang bermasalah dan yang memerlukan perhatian, kasih sayang dan bimbingan tersebut.

Kes-kes atau profail-profail peribadi yang bermasalah telah juga dibentangkan yang mengukuhkan kesedaran peserta bahawa sesuatu yang serius perlu dilakukan di dalam pendekatan-pendekatan menangani masalah remaja dirancang dan dilaksanakan. Falsafah Embun Hidayah adalah mendatangani mereka yang bermasalah secara langsung dan mengajar serta membaikpulihkan watak-watak remaja yang bermasalah melalui falsafah: "Hidup mesti Berbuat"
"Berbuat mesti Tertib"
"Tertib mesti Bermatlamat"

Dalam masa dua hingga tiga tahun misalnya kumpulan Hidayah telah berjaya membantu lebih kurang 200 orang remaja yang bermasalah, melalui kaedah yang menjalinkan pendekatan psikologi dan fizikal-sosial yang relevan kepada keperluan remaja.

Kesimpulannya, selain daripada pembentangan kertas kerja, ahli-ahli bengkel telah banyak belajar dari falsafah-falsafah kaedah serta kekreatifan individu-individu yang memulakan Embun Hidayah yang telah memberikan makna sebenar ungkapan atau label "aktivis masyarakat" itu.

Bahagian kedua Bengkel menumpukan perhatian tentang langkah-langkah yang boleh dan perlu diambil oleh semua pihak. Peserta bengkel telah berbincang tentang cara-cara menangani masalah melalui aspek-aspek spritual atau agama, sudut belia sendiri dan aspek environmen atau persekitaran yang harus wujud bagi perkembangan golongan muda yang sihat.

Cadangan-cadangan bawah tajuk-tajuk tertentu ini telah dibuat seperti berikut:-

Menangani masalah daripada perspektif agama:-

Cadangan:-

1. Pendidikan pencegahan jangka panjang

i) Peranan ibubapa dan keluarga dalam pendidikan keagamaan, ianya bermaksud pendidikan keagamaan bermula di rumah
ii) Di luar rumah terbahagi kepada 2 aspek
a) sekolah
b) persekitaran yang meliputi rakan sebaya (jiran), guru-guru dan masyarakat

~Mereka harus mendidik dan menerangkan konsep-konsep keagamaan. Ibubapa harus menegur dengan cara yang boleh diterima oleh remaja bila melakukan kesalahan.

Pendidikan jangka pendek

i) Peranan Masjid dipertingkatkan - Fungsi masjid bukan sahaja sebagai rumah ibadah. Jabatan Agama Islam negeri harus mengambil inisiatif untuk meningkatkan peranan-peranan masjid dengan menyediakan perpustakaan, ruang riadah, kelas tambahan yang bukan sahaja meliputi pendidikan berunsur keagamaan sahaja, tetapi juga kemudahan riadah yang patut di kawasan masjid tersebut.
ii) Ahli Jawatankuasa Masjid (AJKM) Perlu berlaku perubahan sikap di kalangan AJKM, dengan mengadakan seminar-seminar ataupun bengkel untuk mereka mempertimbangkan peranan mereka dengan lebih produktif.

Ibubapa dan pemimpin masyarakat di setiap peringkat perlu memberi perhatian yang khusus untuk membantu anak-anak remaja, dengan menyokong semua program yang dianjurkan oleh pihak sekolah terutamanya program yang berteraskan keagamaan.

Pendekatan pelajaran agama memerlukan kepada pendekatan yang betul dan mudah diterima. Seperti yang dikatakan oleh Yusuf Qardawi, dahulukan pengajaran yang wajib daripada yang sunat. Contoh,konsep Islam, iman dan ihsan (perkara wajib).

2. Mengemaskini semua pentadbiran institusi keagamaan

3. Membasmi buta Al-Quran dan mengkaji semula kurikulum pembelajaran sejarah

4. Media massa (cetak dan elektronik) perlu peka sesetangah program yang ditayangkan atau disiarkan dalam akhbar terutamanya filem barat atau drama tempatan atau iklan telah memberi kesan negatif terhadap pelajar dan remaja.

5. Pendekatan agama yang bersepadu kepada remaja-remaja bermasalah di pusat-pusat pemulihan dan pusat-pusat tahanan.

6. Mempelbagaikan pendekatan dakwah

Wujudkan dasar penyiaran negara yang berlandaskan nilai-nilai pembinaan manusiawi.

Perbanyakkan program-program keagamaan dalam media elektronik (TV dan radio) serta tidak ketinggalan media cetak. Bagi program Tv dan radio, ia hendaklah disiarkan pada waktu perdana iaitu antara 9 hingga 11 malam.

7. Mencadangkan supaya remaja Islam yang bekerja di kilang-kilang dibenarkan menunaikan solat berjemaah dan solat Jumaat, pihak pengurusan hendaklah menyedikan jadual kerja di kilang-kilang dengan mengambil kira waktu solat.

Mencadangkan pihak kilang dan badan-badan tertentu supaya menyedikan kaunselor atau guru agama (yang mahir), bagi memberi bimbingan dan nasihat dalam bidang Islam, bagi mengatasi masalah gejala sosial.

8. NGO hendaklah diberi peruntukan kewangan yang cukup untuk mengadakan aktiviti dakwah dan kepimpinan bagi mengatasi gejala sosial bagi negara ini dan program penghayatan Islam perlu diadakan secara berterusan.

9. Golongan muda perlu disedarkan atau diinsafkan akan perlunya persediaan dilakukan demi menghadapi masa depan yang mencabar. Sikap proaktif amat penting disemaikan terutama dalam aspek-aspek kerohanian yang menjadi benteng ketahan ummah.

10. Golongan korporat prihatin perlu tampil ke padang untuk membantu mereka yang tidak berupaya termasuk golongan muda rosak akhlak. Bantuan hendaklah disalurkan bagi tujuan pemulihan. Contoh, menyedikan pusat aktiviti latihan belia, menaja aktiviti belia.

Mengenai masalah dari perspektif belia

Cadangan:-

1. Penubuhan Pusat Kegiatan Belia dengan infrastruktur yang terancang meliputi:-

a) Pusat Rekreasi
b) Pusat Keilmuan
c) Bengkel Kemahiran
d) Kesenian dan Kebudayaan
e) Pusat Maklumat dan Informasi Belia

2. Pendedahan Organisasi dan Fungsi Kementerian Belia dan Sukan kepada kumpulan sasar - belia supaya jelas dan sampai ke akar umbi. Contohnya - terlalu ramai remaja lepasan sekolah "tercari-cari" sumber-sumber untuk membantu mereka.

3. Penyediaan diri remaja lepasan sekolah dari aspek psikologi untuk menghadapi masyarakat luar sekolah. Kementerian berkaitan perlu berkejasama untuk membuat perancangan untuk tujuan di atas.

4. Perlu ada keseimbangan dari segi perlaksanaan dasar di Kementerian Belia dan Sukan. Kekerapan pertukaran pucuk pimpinan di Kementerian ini sering membawa wadah mengikut citarasa sendiri.

5. Pengurusan dan Pentadbiran di Kementerian Belia dan Sukan perlu di "overhaul". Misalnya: a) Program kepimpinan perlu mengikut citarasa belia.
b) Wang bantuan projek perlu disalurkan terus kepada pelaksana projek
c) Kesungguhan pegawai belia mencerminkan keaktifan belia dengan perancangan yang lebih berkesan.

6. Pemimpin belia harus menyediakan pelapis dan kepimpinan lama harus bersedia mengundurkan diri secara sukarela dengan memberi tunjuk ajar serta bimbingan kepada pelapis.

7. Kementerian Perpaduan Negara perlu bertanggungjawab menganjurkan Program Penyediaan Diri dan Kesejahteraan Keluarga khusus untuk gadis-gadis yang akan memasuki alam rumahtangga.

8. Penubuhan "think-tank" hal-ehwal belia.

9. Mewujudkan Kumpulan Sebaya (Peer Group) di kalangan belia yang boleh menjadi role model, Kumpulan Embun Hidayah adalah satu contoh.

10. Menumpukan sasaran kepada Program Pembangunan Belia di Kilang dan Ladang (seperti Felda).

11. Mewujudkan badan penyelaras kepada Program Isu Remaja.

12. Falsafah mendekati belia haruslah berlandaskan konsep "emphaty" dan keperihatian dan kasih sayang terjadap mereka yang bermasalah misalnya kumpulan Embun Hidayah menyarankan prinsip-prinsip berikut:-

1) Menarik remaja-remaja sasaran menjadi aktivis masyarakat remaja. Mereka ini mestilah datang dari pelbagai peringkat remaja. Untuk menarik remaja-remaja ke program (permulaan) kita perlu menerima mereka sebagai seadanya. Jangan gunakan pendekatan kongkongan terlebih dahulu. Mesti mengenali mereka. We have to listen first!!!
2) Modul-modul yang digunakan mestilah yang sudah terbukti keberkesanannya.
3) Remaja-remaja dilatih menjadi core group.
4) Tindakan susulan perlu diambil. Jangan biarkan mereka begitu sahaja.
5) Sediakan satu tempat alternatif kepada mereka untuk datang, berbincang, (jamming) bermain muzik, dan lain-lain lagi.
6) Mereka yang mengedalikan adalah juga di kalangan mereka juga.
7) Pemimpin-pemimpin belia perlu datang sekali-sekala turun ke padang bersama-sama mereka (remaja) secara informal.
8) Program-program suslan perlu diadakan.
9) Pendekatan yang dibuat perlulah dengan hikmah
"Mulakan dari apa yang mereka tahu.
Bina dari apa yang mereka ada".

~ Generasi tua perlu mendatangi kepada remaja. Dengar rintihan mereka dan faham serta mengerti. Kemudian barulah disisipkan dengan nasihat serta cadangan pembinaan diri. Akhirnya mereka perlu dilepaskan untuk beraksi di lapangan.

Menangani masalah menerusi pembersihan persekitaran bagi remaja dan masyarakat

Cadangan-cadangan adalah seperti berikut:-

1. Menguatkuasakan hukuman-hukuman yang sewajarnya mengikut kesalahan yang terkandung dalam undang-undang negara bagi pihak-pihak yang terlibat dengan perdagangan-perdagangan yang merosakkan akhlak. Pusat-pusat hiburan perlu dikurangkan bilangan dan diawasi waktu kegiatannya.

2. Peranan media massa cetak dan elektronik mesti ditapis dan dikawal pengisiannya.

3. Kerajaan perlu melibatkan pihak swata misalnya pengusaha-pengusaha kilang dengan lebih agresif dalam menangani gejala dan masalah sosial.

Resolusi

Akhir sekali, berdasarkan input daripada Bengkel Peserta yang telah diadakan, berikut adalah beberapa resolusi yang telah dipersetujui:

1. Menggalakkan kempen (melalui media yang pelbagai) kesedaran tentang darjah (extent), akibat dan pinca-punca (ekonomi dan sosio-budaya) masalah sosial yang berlaku di negara kita serta perlunya dikukuhkan institusi keluarga.

2. Mewujudkan langkah-langkah memartabatkan semula seluruh institusi keagamaan Islam (mahkamah atau perundangan, pendidikan masjid, zakat dan badan-badan dakwah dan NGO’s yang lain) supaya peranan dan fungsi institusi-institusi yang berkaitan dapat di manifestasikan dengan lebih berkesan.

3. Memastikan apa jua jenis biokrasi yang boleh menghalang kelancaran perlaksanaan program-program membantu membenteras masalah sosial. Agensi-agensi kerajaan mesti memainkan peranan masing-masing melicinkan langkah-langkah dan usaha-usaha yang datang daripada semua pihak.

4. Menggesa satu dasar penerangan - komunikasi perlu dilahirkan segera berdasarkan nilai-nilai kemanusiaan dan spritual - fizikal yang seimbang. Usaha ini mesti menggembelingkan sumber-sumber atau input semua pihak.

5. Menggesa sektor swasta dan koprat (contohnya para pekilang) untuk menzahirkan budaya kerja dan budaya hidup yang sihat do kalangan pekerja mereka. Ini boleh dilakukan dengan mengambil kirta faktor-faktor seperti penjadualan, aktiviti-aktiviti kekeluargaan, hari-hari kelepasan dan lain-lain.

6. Memastikan pendekatan yang diambil di dalan kita mendekati atau membantu golongan remaja atau muda adalah bersifat empatik dan penuh prihatin dan kasih sayang terhadap mereka. Ini amat penting di dalam konteks persekitaran ibu bapa mereka membesar dahulu. Ini akan mengelakkan proses alienasi dan konflik dan jurang di antara generasi berlaku. Kita mesti menyedari hakikat mereka adalah mangsa kepada sistem yang bukan dicipta oleh mereka.

7. Mengukuhkan status dan keberkesanan Kementerian Belia dan Sukan. Kebiasaan menganggap Menteri Belia sebagai yang paling junior dan kementerian sebagai yang paling kurang kepentingan mestilah dihakis.

Laporan disediakan oleh:

Encik Aisan Fadhli

Ketua Unit Persidangan Institut Kajian Dasar

| Main || About IKD || IKD Diaries || Southeast Asian || Press Releases || IKD Links |

| Guestbook || Inquiries |