48, Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur Tel:(603) 2832788 Fax:(603) 2832615

           

Persidangan Meja Bulat Mahasiswa dan Reformasi Nasional

Bertempat di Flamingo Hotel, Ampang, Selangor, pada 26 hingga 28 September 1997

Anjuran bersama: Institut Kajian Dasar dan Yayasan Konrad Adenauer.

Era 70an yang menggemparkan negara ini dengan suara-suara pelajar telah berakhir. Yang jelas perjuangan dan idealisme mahasiswa dekad 70an telah mempengaruhi pelaksanaan dasar kerajaan. Dekad ini telah meletakkan gerakan mahasiswa dan mahasiswa itu sendiri sebagai "kumpulan pendesak" atau "pressure group" yang berjaya mempengaruhi kerajaan terutama dalam isu kemiskinan. Bagaimanapun gerakan mahasiswa era 90an tidak begitu menampakkan keutuhannya. Kebelakangan ini mahasiswa nampaknya lemas dan gagal menggarap isu-isu semasa malah mereka seolah-olah "lack of ideas".

Oleh itu setiap kelemahan ini perlu dikaji dan dikenalpasti. Yang lebih penting mahasiswa perlu melakukan satu reformasi secara menyeluruh agar suara mahasiswa tidak dipinggirkan dalam pembangunan negara.

Menyedari hakikat inilah pihak Institut Kajian Dasar (IKD) dan Yayasan Konrad Adenauer telah mengadakan Persidangan Meja Bulat: Mahasiswa dan Reformasi Nasional bertempat di Hotel Flamingo pada 26 hingga 28 September 1997. Program ini juga adalah kesinambungan program Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa dan Belia: Menyalakan Kembali Obor yang Terpadam yang telah diadakan pada 20 Julai 1997 bertempat di Pusat Islam, Kuala Lumpur.

Antara objektif utama program ini ialah pertamanya memupuk kesedaran kepada mahasiswa tentang peri pentingnya peranan mereka sebagai agen pembentuk masyarakat; kedua, mempertemukan pemimpin-pemimpin muda bagi membincangkan peranan dan tanggungjawab mereka di dalam arus kepimpinan dan arus perdana pembangunan; ketiga menggarap alternatif dan cadangan yang lebih efektif untuk meningkatkan lagi hubungan kerajaan, masyarakat dan mahasiswa bagi menjamin kesejahteraan negara; keempat, merangka plan tindakan untuk menangani permasalahan yang mengancam masyarakat Malaysia; keempat, mengeratkan hubungan silaturahim di kalangan mahasiswa; dan kelima, menggerakkan golongan mahasiswa dan pelajar sebagai pemangkin reformasi nasional.

Program yang berlangsung selama tiga hari ini telah dirasmikan oleh Yang Berbahagia Dato’ Kamarudin Jaffar, Pengerusi IKD dan telah dihadiri oleh seramai 60 orang peserta dari semua universiti termasuk UM, UKM, UTM, ITM, UPM, UUM dan Universiti Sabah dan Pertubuhan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) telah hadir di program berkenaan. Satu dialog juga telah diadakan antara Dato Kamarudin dengan peserta program.

Sebanyak lima sesi diskusi telah diadakan yang telah dihadiri oleh tokoh-tokoh politik, akademik dan bekas pemimpin pelajar. Antaranya Prof. Madya Dr. Siddiq Fadhil, Pengerusi Penal Perunding IKD yang mengupas tajuk "Kepimpinan Melayu Baru Era Perubahan", Tuan Haji Zaiyadi Awang Noh, Pengerusi Biro Mahasiswa Pemuda UMNO Malaysia membincangkan "Generasi Ketiga: Persediaan Mahasiswa", Saudara Mustafa Kamil Ayub, Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan dengan tajuk "Mahasiswa dan Belia". Sementara sesi forum yang bertajuk "Mahasiswa dan Reformasi Nasional" telah dihadiri oleh bekas-bekas pimpinan pelajar Universiti tempatan seperti Saudara Md. Jais Sarday, Pegawai Khas Ketua Pemuda UMNO Malaysia, Saudara Harun Saleh, Setiausaha Sulit Kanan Menteri Pembangunan Usahawan, Saudara Razali Ibrahim, Peguambela dan Peguamcara.

Secara keseluruhanya program ini telah dapat memulakan satu momentum baru mahasiswa universiti tempatan. Kehadiran semua wakil universiti membuktikan kesungguhan dan komitmen mereka terhadap progam ini. Semoga inputnya dapat dimanfaatkan oleh semua.

Ke Atas

Halaman Hadapan

Mengenai IKD

Projek Asia Tenggara

Anwar Ibrahim

Diari IKD

Siaran Akhbar

Link IKD

Pertanyaan