48, Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur Tel:(603) 2832788 Fax:(603) 2832615

 

Laporan Program Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa dan Belia

Bertempat di Dewan Muktamar Pusat Islam, Kuala Lumpur pada 26 Julai 1997

Anjuran: Institut Kajian Dasar

Pendahuluan

Suatu ketika dahulu, pelajar dan golongan belia adalah nadi pembangunan masyarakat. Golongan inilah yang banyak menitiskan keringat memperjuangkan idea-idea pembaharuan, sehingga sanggup berkering tekak bagi memastikan objektif dan wawasan perjuangan mereka kesampaian. Apa yang pasti usaha mereka sentiasa dihargai masyarakat serta para pemimpin negara.

Hakikatnya, itu cuma senario dari lipatan sejarah kita puluhan tahun dahulu. Kini, angkatan belia muda kita dianggap lesu dan tidak bermaya. Tiada lagi kedengaran suara-suara dari para pejuang muda atau kelihatan kelibat tokoh-tokoh muda yang patut dibanggakan oleh masyarakat. Persoalannya bagaimanakah ini boleh terjadi? Di manakah generasi muda di mata masyarakat? Apakah telah padam obor kepimpinan generasi muda yang suatu ketika dahulu marak menyala? Apakah tiada kesinambungannya kini?

Generasi belia dan pelajar sebagai kelompok yang paling besar dan bertenaga dalam masyarakat haruslah diberikan peluang, hala tuju dan kebebasan bergerak agar mereka dapat memberi satu momentum yang berkesan dalam usaha memasuki era Koridor Raya Multimedia (MSC).

Konvensyen ini adalah bertujuan untuk membangkitkan kembali kesedaran di kalangan muda tentang peri pentingnya semangat dan idea kepimpinan mereka dihidupkan semula. Mereka akan disajikan dengan santapan minda dan rohani yang diharapkan dapat memberikan mereka gambaran tentang corak kepimpinan yang matang dan cara terbaik untuk mereka bersuara.

OBJEKTIF

Menyedarkan mahasiswa dan belia secara keseluruhan bahawa mereka perlu kembali menjadi lidah dan suara rakyat seperti generasi terdahulu;

Memupuk semangat dan keyakinan di kalangan belia untuk menjadi pemimpin masa depan;

Melahirkan golongan bakal pemimpin yang berkarisma serta mempunyai asas kefahaman Islam yang tinggi;

Menyelamatkan golongan belia dari terus leka terrbuai dengan kemewahan dan kemajuan yang dinikmati oleh negara;

Mempertemukan pemimpin-pemimpin muda bagi membincangkan peranan dan tanggungjawab di dalam arus kepimpinan dan arus perdana pembangunan negara;

Memberi kesempatan untuk pemimpin-pemimpin bagi memahami dan menghayati wawasan kepimpinan negara;

Sebagai usaha untuk merapatkan hubungan di antara kepimpinan generasi belia dan mahasiswa seluruh Malaysia daripada pelbagai peringkat dan latarbelakang kerana mereka adalah pewaris kepimpinan negara di masa hadapan;

Menyediakan ruang untuk berdialog di dalam memahami teknik atau kaedah, strategi serta pendekatan yang berkesan sebagai langkah untuk meningkatkan kecermerlangan individu dan organisasi, bagi menyalakan kembali obor yang sekian lama terpadam;

Seterusnya menerapkan nilai-nilai kesukarelawan di dalam bersama-sama membasmi masalah kemiskinan atau kekurangmampuan dari segi kepimpinan terutama di kalangan mahasiswa dan belia.

Program sehari ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Dato’ Suhaimi Ibrahim Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM). Sebanyak tiga kertas kerja telah dibentangkan oleh tokoh-tokoh akademik dan profesional iaitu "Kepimpinan Generasi Muda: Menyalakan Kembali Obor Yang Terpadam" oleh YB. Datuk Ahmad Zahid Hamidi (Pengerusi Bank Simpanan Nasional) yang telah mewakilkan Sdr. Saifudin Nasution Ismail, "Kesinambungan Kepimpinan Belia: Adakah ia Suatu Realiti?" oleh YB. Suhaimi Ibrahim, Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) dan "Radikalisme: Wajarkah dalam Konteks Perjuangan Semasa" oleh Tuan Hj. Anuar Tahir, Pengerusi Perhimpunan Belia Islam Asia Timur. Sementara Sesi forum telah dihadiri oleh Dr. Badrul Amin (UIAM), Dr. Azizan Baharudin (IKD) dan Dr. Mizan Hitam (ITM) dengan tajuk "Pentingnya Gerakan dan Pemikiran Islam sebagai Wadah Pemimpin Muda".

Ke Atas

Halaman Hadapan

Mengenai IKD

Projek Asia Tenggara

Anwar Ibrahim

Diari IKD

Siaran Akhbar

Link IKD

Pertanyaan