48, Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur Tel:(603) 2832788 Fax:(603) 2832615

 

Seminar Keadilan Sosial (Peringkat Zon Utara)

Bertempat di Hotel Casuarina Park Royal Ipoh, Perak, pada 14 hingga 16 September 1997.

Anjuran bersama: Institut Kajian Dasar dan Yayasan Konrad Adenauer.

Keadilan sosial sering dikaitkan dengan persoalan hak dan tanggungjawab seseorang dan kumpulan atau pihak, dan sama ada sesuatau ganjaran, kedudukan, hukuman dan pengiktirafan itu sesuai dan wajar pada tempatnya.

Keadilan sosial yang dimaksudkan di sini mencakupi bicang-bidang ekonomi, perundangan, politik, pentadbiran, hubungan etnik, hubungan sesama dan di dalam keluarga, hubungan sosial dan sebagainya.

Institut Kajian Dasar (IKD) beranggapan Keadilan Sosial penting dibincangkan kerana ia membantu mempersiapkan masyarakat menghadapi transformasi sosial dan pelbagai implikasinya sekarang. Untuk itu, selain pihak kerajaan sendiri, pelbagai pertubuhan dan kumpulan sukarela dan swasta haruslah memainkan peranan masing-masing dalam memperjuangkan keadilan sosial. Bagi IKD sendiri, inilah satu-satunya cara yang wajar dan berkesan untuk memberikan sumbangan bagi kesejahteraan hidup masyarakat kita sekarang dan generasi masa depan.

Seminar Keadilan Sosial adalah program tahunan Institut Kajian Dasar (IKD). Setiap tahun IKD menganjurkan program ini mengikut zon-zon yang terpilih. Untuk tahun ini (1997), zon yang terpilih ialah zon utara yang merangkumi negeri-negeri seperti Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Seramai lebih 120 orang telah berminat menyertai seminar ini. Walau bagaimanapun, atas sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan terutama gejala jerebu yang melanda negara, peserta yang telah dapat menghadirkan diri ialah seramai 86 orang yang terdiri dari wakil-wakil pertubuhan non-governmental organisation (NGO), pertubuhan-pertubuhan sukarela, agensi-agensi kerajaan dan orang perseorangan dari semua negeri yang terpilih. Penginapan dan makanan semasa program adalah ditanggung oleh IKD.

Program pada kali ini dirasmikan oleh YAB Tan Seri Dato’ Seri Ramli bin Ngah Talib, Menteri Besar Perak pada 15 September 1997 bermula jam 9.00 pagi. Turut hadir dalam majlis ini ialah Y.Bhg. Dato’ Kamarudin Jaffar, Pengerusi IKD, En. Abdul Rahman Adnan, Pengarah IKD dan Dr. Klaus Pahler, wakil Yayasan Konrad Adenauer (KAS).

Dalam ucapan perasmian, antara lain YAB menyentuh tentang program-program kerajaan negeri membasmi kemiskinan terutama untuk mendapatkan keseimbangan pendapatan antara penduduk terutama negeri Perak (ucapan penuh adalah dilampirkan).

Di majlis yang sama satu Majlis Menandatangani Perjanjian Persefahaman antara IKD dengan KAS telah diadakan. IKD telah diwakili oleh Yg.. Bhg. Dato’ Kamarudin Jaffar, Pengerusi IKD dan KAS diwakili oleh Dr. Klaus Pahler. Majlis ini telah disaksikan oleh YAB Tan Seri Dato’ Seri Ramli bin Ngah Talib.

Sebanyak lima kertas kerja dengan tajuk-tajuk yang bersesuian telah dibentangkan yang terdiri daripada tokoh-tokoh akademik antaranya Prof. Madya Dr. Siddiq Fadhil, Pengerusi Panel Perunding IKD (Ucap Utama), Dr. Sulaiman Mahbob, Timbalan Naib Canselor, Universiti Utara Malaysia (Pengalaman Negara-Negara Perindustrian di Asia dalam Menghadapi Persoalan Keadilan Sosial: Iktibar bagi Negara Kita), dan Prof. Madya Dr. Wan Abdul Manan Wan Muda, Universiti Sains Malaysia (Keadilan Sosial dan Kebebasan Bersuara Rukun Negara Maju).

Pada hari kedua (16 September 1997) sebanyak dua lagi kertas kerja dibentangkan iaitu oleh Prof. Dr. Hairuddin Harun, Universiti Malaya (Ledakan Ekonomi dan Industri Digital: Kesan-Kesannya Terhadap Keadilan Sosial) dan Prof. Shamsul Amri Baharudin, Universiti Kebangsaan Malaysia (Keadilan Sosial di Malaysia: Satu Penilaian).

Bagaimanapun, Dr. Sulaiman Mahbob dan Prof. Shamsul Amri Baharudin tidak dapat hadir disebabkan oleh pembatalan penerbangan akibat jerebu yang melanda negara. Kertas kerja mereka telah dibaca oleh En. Abdul Rahman Adnan, Pengarah IKD.

Kesimpulan

Pada keseluruhannya program ini telah berjaya menghimpunkan pemimpin-pemimpin persatuan dari negeri-negeri Utara. Input seminar diharap akan memperkayakan lagi pemahaman terhadap konsep Keadilan Sosial yang perlu dipraktikkan di peringkat bawah. Segala kelemahan daripada Seminar ini akan dijadikan pengajaran untuk diperbaiki pada masa-masa akan datang. Tahniah juga kepada urusetia yang terlibat yang telah menunjukkan komitmen yang bersungguh-sungguh.

Ke Atas

Halaman Hadapan

Mengenai IKD

Projek Asia Tenggara

Anwar Ibrahim

Diari IKD

Siaran Akhbar

Link IKD

Pertanyaan