KENYATAAN RUHANIE HAJI AHMAD PENGERUSI BBC/PENGERUSI CELDES DI MAJLIS PERASMIAN

MUAFAKAT MEMERANGI RASUAH
SABTU 19HB. JULAI 1997

MUKADIMAH:

Selaku Pengerusi Kelab Penyokong-Penyokong Kerajaan Parlimen Malaysia (BBC) dan Pengerusi Pusat Kajian Kepimpinan dan Dasar (CELDES), saya memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT yang melorongkan usaha penganjuran Muafakat Memerangi Rasuah pada hari ini. Kami juga amat menghargai serta mengucapkan ribuan terima kasih kepada YB Datuk Seri Najib Tun Razak yang sudi merasmikan muafakat ini. Kehadiran beliau yang juga Naib Presiden UMNO Malaysia, adalah manifestasi iltizam politik dan pemerintahan negara yang tinggi lagi tegas terhadap usaha membanteras rasuah. Sebenarnya, iltizam tersebutlah yang mendorong kami memperolehi restu YAB Pemangku Perdana Menteri untuk turut menganjurkan proses penjanaan minda ini.

Begitu jugalah dengan kesanggupan para pembentang kertaskerja, moderator serta peserta dari sektor politik, awam, swasta, akademik dan sukarela yang menyertai muafakat ini. Kami amat menyanjung tinggi penyertaan Saudara Saudari. Inilah buktinya bahawa usaha memerangi rasuah adalah tanggung3awab semua pihak.

RASUAH:

Kami amat menginsafi bahawa rasuah adalah perilaku mungkar manusia yang tipis iman, rendah asas akhlak, dhaif akal-budi dan tidak menghormati serta enggan menjunjung keluhuran undang-undang. Gejala ini selalunya berpunca dari sikap tamak, pilih kasih, dorongan nafsu dan cita-cita melulu. Ia dilakukan demi memenuhi kepentingan sekalangan individu yang terlalu materialistik, mahu memajukan perniagaan secara mudah, mahu mencapai jawatan tinggi politik menerusi jalan paling singkat atau untuk menebus perilaku yang melanggar undang-undang. Kami juga insaf bahawa amalan rasuah yang merebak liar boleh mengancam keselamatan negara, menghuru-harakan kerajaan, meruntuhkan tamadun dan membinasakan bangsa.

CADANGAN:

Oleh itu, kami mencadangan semoga Kerajaan mengkaji semula kuasa, tugas dan tanggungjawab Badan Pencegah Rasuah. Ini akan membolehkan BPR mempelopori gerakan pendidikan anti-rasuah yang komprehensif di kalangan masyarakat, melakukan kegiatan pencegahan yang lebih berkesan, menjalankan penyiasatan dengan lebih cekap dan adil serta membuat perakuan-perakuan pindaan yang berwibawa ke atas segala amalan dan prosidur sektor awam yang berpotensi menggalakkan rasuah.

Kerajaan juga hendaklah memberi perspektif baru kepada amalan rasuah supaya ianya diikategorikan sebagai musuh negara yang sama padahnya dengan penagihan dadah. Justeru itu, wajarlah diwujudkan sebuah Majlis Anti Rasuah Negara untuk untuk mengesan, mengkaji serta menganalisa amalan rasuah, kesan dan implikasinya terhadap sosio-ekonomi, politik dan keselamatan negara. Majlis tersebut hendaklah mempunyai jawatankuasanya di peringkat negeri dan daerah serta bergerak seiring dengan BPR.

Kewujudan satu gerakan anti-rasuah kebangsaan yang menggemblengkan penyertaan rakyat jelata, sektor awam, swasta, politik dan sukarela juga digalakkan. Gerakan bersepadu ini hendaklah mempunyai struktur organisasi yang sama seperti PEMADAM dan bergerak seiring dengan BPR dan Jawatankuasa Anti Dadah yang kami cadangkan sebentar tadi.

Seterusnya, perilaku kakitangan awam yang memproses, menganalisa, membuat perakuan, mengendali, menyelia dan meluluskan semua aspek percukaian, pelesenan, projek pembangunan dan projek penswastaan di peringkat pusat, negeri dan daerah mestilah telus dan bebas dari rasuah. Warga korporat yang berurusan dengan sektor awam mengenai penswastaan atau pelaksanaan projek perabangunan di semua peringkat juga dituntut berperilaku telus dan bebas dari rasuah.

Pada waktu yang sama, usaha mewujudkan masyarakat madani yang menjunjung keluhuran undang-undang, mengamalkan tradisi moral yang murni, berbudaya, berintegriti dan tidak berkompromi terhadap rasuah perlu diperhebat dan diperkasakan lagi gerakannya. Seluruh jentera pembangunan generasi anjuran Kerajaan, politik, korporat dan sukarela perlu mendukung usaha ini menerusi gerakan kesedaran dan modul latihan ketatanegaraan dan keagamaan yang rapi, khusus, bersepadu dan berterusan.

Seluruh kepemimpinan sektor awam, politik dan korporat di mana Kerajaan mempunyai 'Isaham keemasan" hendaklah mengistiharkan harta masing-masing kepada sebuah jawatankuasa di bawah pimpinan Perdana Menteri.

Akhir sekali, elemen dan mesej anti-rasuah hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap generasi muda Malaysia menerusi kurikulum khas pendidikan rendah, menengah dan tinggi Kerajaan dan swasta. Elemen dan mesej ini juga hendaklah diterapkan ke dalam jiwa segenap pelatih menerusi kurikulum khas di semua agensi latihan awam dan swasta.

PENUTUP:

Mudah-mudahan cadangan kami ini akan serba sedikit membantu pihak kepemimpinan politik dan pemerintahan negara untuk memperkasakan lagi gerakan anti-rasuah di waktu-waktu mendatang.

lnsya Allah, Malaysia akan menjadi sebuah negara maju yang sifar korupsi.

Terima kasih.

| Main || About IKD || IKD Diary || Southeast Asia 2000 Project || Press Releases || IKD Links || Inquiries |