48, Jalan Telawi, Bangsar Baru, 59100 Kuala Lumpur, Malaysia. Tel:(603) 2832788 Fax:(603) 2832615

 

Secebis Ulasan dari Meja Persidangan

Oleh: Aisan Fadhli Ab. Halim

Ketua Unit Persidangan IKD 1997

Unit Persidangan adalah unit baru yang ditubuhkan pada tahun 1997 bertujuan untuk menyelaras program-program yang berkaitan dengan persidangan seperti Persidangan Antarabangsa, Persidangan Meja Bulat, Bengkel, Kolokium dan lain-lain. Antara isu yang dibincangkan termasuklah isu sosial, politik, alam sekitar, perundangan di samping isu-isu semasa. Walaupun hanya mempunyai seorang Ketua Unit dan seorang pegawai tetap, hasil kerjasama semua kakitangan IKD dan sukarela-sukarela universiti, Unit ini dari Februari 1997 hingga Oktober 1997 telah berjaya menganjurkan 16 program (sila lihat ringkasan jadual di sebelah).

Progam pertama yang diadakan ialah di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada 8 hingga 9 Februari 1997 iaitu Seminar Ledakan Teknologi Maklumat: Cabaran Terhadap Bahasa Malaysia dan Budaya Nasional. Seminar ini telah membincangkan persiapan-persiapan yang perlu dilakukan oleh masyarakat sebagai menghadapai cabaran teknologi canggih pada masa-masa akan datang.

Masalah belia dan gejala sosial hari ini telah menjadi salah satu daripada agenda utama program di bawah Unit Persidangan. Malah boleh dianggap agenda belia adalah tulang belakang kepada aktiviti Unit ini. Keperihatinan isu ini telah menyentuh IKD untuk mengadakan Bengkel Menangani Masalah Sosial dan Keruntuhan Moral di Kalangan Golongan Muda pada 9 hingga 11 April 1997 di Hotel Sri Malaysia Port Dickson. Kehadiran golongan sasaran (belia yang bermasalah) dalam program ini telah dapat mencungkil masalah sebenar yang dihadapi oleh remaja hari ini. Lanjutan daripada program ini, satu Perhimpunan Perdana Embun Hidayah (Abim) telah diadakan pada 17 hingga 19 Oktober 1997 bertempat di Kompleks Tabung Haji Kelana Jaya. Dengan kerjasama Kelab Embun Hidayah, program ini ternyata telah berjaya menghimpunkan remaja seluruh Malaysia yang kebanyakannya "nakal".

Unit Persidangan turut memberikan perhatian kepada program di Universiti. Program pertama yang dianjurkan ialah Dialog Mahasiswa 1 bertempat di Universiti Islam Antarabangsa (UIA), Gombak pada 5 hingga 6 April 1997. Ini disusuli dengan Konvensyen Kepimpinan Mahasiswa dan Belia pada 20 Julai 1997 bertempat di Pusat Islam. Sememangnya didapati kedua-dua program di atas telah banyak memberikan input kepada para pelajar. Sebagai pengisian dengan lebih berkesan, satu Persidangan Meja Bulat: Mahasiswa dan Reformasi Nasional telah diadakan pada 19 hingga 21 September 1997 yang telah berjaya menghimpun semua pimpinan mahasiswa Universiti tempatan untuk membincangkan isi-isu yang berkaitan dengan kelesuan mahasiswa hari ini.

IKD turut tidak terkecuali dalam membincangkan isu alam sekitar. Dengan kerjasama Persatuan Puteri Islam Malaysia (PPIM) dan Yayasan Kondrad Adenaeur (KAS) IKD telah berjaya mengadakan Khemah Penghayatan Alam Sekitar bertempat di Taman Alam Kuala Selangor pada 10 hingga 12 Oktober 1997. Program ini telah mendapat sokongan penuh daripada Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail (yang turut merasmikan program ini). Tentunya penghayatan alam sekitar perlu menjadi agenda utama masyarakat hari ini agar dunia ini tidak lagi diancam oleh pelbagai bencana alam.

Isu Keadilan Sosial turut menjadi fokus utama IKD. Untuk itu satu Seminar Keadilan Sosial (peringkat zon Utara) telah diadakan di Hotel Casaurina, Ipoh, Perak pada 14 hingga 16 September 1997. IKD juga telah bersama dengan Kelab penyokong Kerajaan (Backbanch), Asian Strategy and Leadership Institute (ASLI), dan Pusat Kajian kepimpinan dan Pembangunan (CELDES) untuk mengadakan program "Maufakat Membasmi Rasuah" pada 19 Ogos 1997 di PWTC. Progam ini telah berjaya menghimpunkan semua wakil-wakil pertubuhan, orang perseorangan, pembangkang dan lain-lain untuk membincangkan isu rasuah dan kesannya kepada pembangunan negara.

IKD turut menumpukan perhatian kepada Persidangan Antarabangsa. Pada 2 hingga 5 Jun 1997, IKD telah berjaya menganjurkan Persidangan Antarabangsa Iqbal dan Nahdah Asia bertempat di Hotel Glenmarie Resort, Shah Alam. Pemikiran Iqbal telah diadunkan dalam Seminar dan dipentaskan dalam bentuk teater. Idea dan pemikiranya telah menyalurkan sumbangan yang tidak ada tolok bandingnya terhadap kebangkitan Asia masa kini.

Di samping itu IKD telah bekerjasama dengan The Commonwealth Legal Education Association dan Kulliyah Undang-Undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk menganjurkan "Conference on Status of Legal Education and its Future" pada 9 hingga 11 September 1997 bertempat di Hotel Holliday Inn Shah Alam. Persidangan yang bukan sahaja berjaya mengumpulkan para akademik seluruh negara Komenwelth tetapi juga telah dapat mendalami dengan perbincangan dan perbahasan kritis masa depan negara-negara Komenwelth dalam isu perundangan.

Untuk tahun ini, Unit Persidangan telah merancang untuk mengadakan beberapa lagi program seperti Belia dan Politik pada penghujung November, Sambutan 100 tahun Jamaludin Al Afghani (3 Disember 1997), dan beberapa kursus kepimpinan.

Muka surat atas

Halaman Hadapan

Mengenai IKD

Diari IKD

Projek IKD

Keratan Akhbar

Link IKD

Pertanyaan

Buku Pelawat